Wednesday 22 January 2014

HUJAN LAGI


Hujan Lagi...

Aku rentasi hujan lagi
demi mencari sesuap nasi
mengalas perut yang tak berisi
dari malam bawa ke pagi

Mereka mungkin tak kan mengerti
mengapa ianya jadi begini
jangan di hina atau di caci
mungkin ini dugaan Ilahi

Pada mereka yang bersimpati
ku ucapkan terima kasih ikhlas di hati
semoga kalian turut di berkati
menjaga silaturrahim hingga ke mati.



nurdila91

HUJAN



Hujan...

Hujan...
kau turun lagi
membasahi bumi ini
dan aku masih di sini
mencari matlamat diri
apakah akan dapat ku penuhi
dan masih mencari apa yang di ingini...

Hujan...
bila gerimismu berhenti
mentari pastikan bersinar lagi
dan aku tetap di sini
berdiri dan mencari
sebuah harga diri
apakah dapat di penuhi
impian yang abadi
impian yang hakiki
hanya Allah yang maha mengetahui.



nurdila91

Kisah Kasih



              `Arrrr… sunyinya’ bisik Kasih.  Kasih bergerak ke jendela bilik tidurnya.  Angin yang sepoi-sepoi bahasa seakan-akan menggamit memori silamnya.  Ia muncul satu persatu dalam fikirannya.  Dedaun yang kering berterbangan ditiup angin.  Kasih terpandang kepada seorang lelaki tua bersama seorang anak kecil, sedang bermain di halaman rumah.  Mungkin cucunya.  Lantas, Kasih mula teringat cerita lama.
              Suatu hari di remang senja, kasih bersama-sama abah duduk berdua di ruang tamu. Manakala abang-abangnya dan kakaknya sibuk di bilik tidur masing-masing. Mak pula di dapur, menyediakan juadah makan malam nanti. Kasih tiba-tiba bangun dan membetulkan duduknya lalu mengadap abah. Abah kehairanan melihat perilaku Kasih.
              “Abah, awat nama adik bin dia nama lain, pasai apa tak sama dengan nama abah?” Sengaja Kasih menanyakan kepada abahnya.
              “Kasih, abah kan polis. Polis kenalah banyak nama. Polis kan nak tangkap orang jahat.” Balas abah sambil memandang Kasih.
              “Tapi… pasai apa Abang Sudin cakap kat adik, yang adik ni cuma anak pungut abah. Kutip kat tepi longkang?” Balas Kasih lagi.
              “Allah adik… Abang Sudin tu saja aja, dia nak usik adik tu.  Dah… tak mau dok pikiaq  sangat.  Jom kita pi beli satay mau…?” Jawab  abah sambil tersenyum memandang Kasih.
              Begitulah abah, setiap kali pertanyaan Kasih mengenai identitinya yang sebenar, pasti abah akan memujuknya.  Berbagai-bagai alasan akan abah berikan. Abah akan cuba menghiburkan Kasih dengan perbagai cara, sehingga Kasih lupa dan tidak lagi menyoalkan perkara tersebut.     Saban hari Kasih akan termenung memikirkannya, walaupun ketika itu umur kasih baru sahaja 8 tahun. Manakala Abang Sudin pula berusia 12 tahun.  Mungkin juga di sebabkan guru-guru memanggil nama Kasih dengan nama yang penuh, jadi tersebutlah nama ayah kandung kasih.  Mungkin di sebabkan itulah Kasih menjadi anak kecil yang sering menanyakan soalan yang sama, tak kira dengan sesiapa pun. Suatu hari, ketika berdua sahaja bersama maknya, Kasih sekali lagi bersuara.
              “Mak… mak tahu tak pasai apa nama abah adik Syamsudin, bukannya Nordin?”
              “Kasih, kan abah dah cakap… abah kerja polis.  Polis kena ada banyak nama. Supaya senang nanti hendak tangkap penjahat.”
              “Tapikan mak, Abang Sudin selalu cakap yang Kasih ni cuma anak pungut ja. Kutip kat tepi longkang?”
              “Pandai betui Abang Sudin hang kan. Nanti mak marahkan dia na?” jawab mak sambil membelai rambut Kasih.  Kasih memandang wajah maknya.  Lalu kasih memeluk maknya dan mak pula mencium kedua-dua belah pipi Kasih.
              Saban hari, saban waktu dan di setiap ketika, Abang Sudin sentiasa mencari sebab untuk membuli Kasih. Ada ketikanya, Kasih akan menangis, tak tahan dibuli oleh abangnya.   Bukan abangnya saja yang mengusik, nanti habis kawan-kawan Abang Sudin pun turut sama mengusiknya. Bila disergah oleh jiran-jiran, barulah mereka berhenti. Tidak lama kemudian, mereka mulakan lagi.  Namun begitu Kasih tetap mahu bermain bersama abang, serta kawan-kawan abangnya.
              Kasih masih ingat lagi… pernah suatu malam, ketika kasih, Kak Liya dan Abang Sudin mengaji Al-Quran di rumah tok wan yang berada di tingkat satu.  Sedang leka tok wan mengajar Kak Liya mengaji, tiba-tiba Kasih menangis sekuat hati.  Sehingga tok wan terpaksa berhenti mengajar Kak Liya mengaji.  Tergesa-gesa tok  wan dan Kak Liya datang menjenguk Kasih dan menanyakan kepadanya kenapa dia menangis.  Kak Liya pula datang memeluk Kasih, dibelainya Kasih.
              “Huu… huu… huu… Abang Sudin jahat… Abang Sudin jahat. Kasih nak habaq kat mak, kat abah. Biaq Abang Sudin kena pukui.”  Mengadu Kasih kepada tok wan.
              “Sudin! Hang mai sini… awat yang hang dok ketegaq sangat ni! Hang tau tak, ni adik hang? Yang hang sibuk dok pi kata dia anak pungut tu pasai apa? Dia ada dok usik hang ka?” marah tok wan.
              “Mana ada tok wan. Memang dia anak pungut apa? Masa mak ngan abah pi Kuala Lumpoq, perut mak kempis.  Tup, tup… bila balik mai, abah ngan mak dok dukung budak kecik.? Budak ni lah.” Jawab Abang Sudin sambil memandang Kasih dengan mata yang terbuntang besar.
              “Dah naa… Kasih, jom kita balik. Kita pi habaq kat abah naa… abah sayang kasihkan. Biaq abah pukui Abang Sudin” nasihat Kak Liya.
              Bagi Abang Sudin dia masih belum berpuas hati. Masih sempat lagi mengusik adiknya.  Di angkatnya kedua-dua tapak tangan dan di letaknya di tepi telinga.  Dikibas-kibasnya tangan ibarat telinga gajah yang sedang mengibas sambil menjerit.
              “Kasih anak pungut yeh… Kasih anak pungut yeh… jumpa tepi longkang yeh.” Diulangnya beberapa kali sehinggakan kawan-kawan Abang Sudin pun ikut sama berlagu.
              “Hang tak pa Sudin.  Hang tengok sat ni, aku habaq kat abah kot hang tak sempat nak pi menyorok kot.  Biaq hang kena pukui ngan tali pinggang hitam abah tu. Baru hang nak tau kot, hang tak ingat ka… apa abah dok pesan kat kita?” berleter Kak Liya sepanjang menaiki tangga untuk balik ke rumah kami. Kami tinggal di tingkat 3. Blok yang sama dengan tok wan.
              Sepanjang menaiki tangga, Kasih menangis tersedu-sedan.  Puas dipujuk oleh kakaknya tapi tak mahu juga Kasih berhenti menangis. Habis semua jiran menjenguk dari pintu rumah mereka.  Sampai saja di rumah dan belum sempat Kak Liya hendak memanggil mak, terdengar suara abah dari dalam bilik menjerit menanyakan kepada Kak Liya mengapa Kasih menangis.
              “Ni… awat yang dok teriak macam orang kena tibai ni.  Sapa pulak yang dok usik adik hang ni, Liya?” tanya abah.
              “Sudin abah, yang dok usik Kasih, orang dok elok-elok mengaji dia pi dok ejek Kasih.   Kasih bukan dok usik dia pun.  Dia tu dok sibuk kata Kasih anak pungut. Sampai tok wan marah pun Sudin dok ejek abah.” Ngadu kak Liya.
              Abah yang memang panas hati dengan perangai Abang Sudin terus masuk ke dalam bilik. Keluar saja dari bilik di tangan abah ada seutas tali pinggang hitam.  Tali pinggang itu, abah selalu guna bila abah berpakaian seragam polis.  Digulungnya tali pinggang itu sambil menjerit memangil Abang Sudin.  Nampak saja kelibat Abang Sudin, abah dengan lantangnya bersuara.
              “Hey… Sudin! Hang mai sini sat.  Berapa kali aku nak habaq kat hang.?  Berapa kali hang nak kena pukoi ngan aku?  Hang tak serik no… awat yang hang dok ketegaq sangat ni? Hang tau dak, Kasih tu adik hang? Bukan sesiapa pun?” Sambil menghayun tali pinggang itu ke belakang Abang Sudin.
              “Aduh… sakit abah!” Jerit Abang Sudin.
              “Abah… sakit, mak tolong Sudin mak!” Jerit Abang Sudin lagi.  Merintih suara Abang Sudin ketika itu.
              “Hang nak ejek adik hang lagi? Hang nak kata yang bukan-bukan kat dia lagi? Hang habaq mai kat aku la ni, Kasih tu sapa?” laung abah.
              Masih terdengar esakkan mak di penjuru bilik sambil berkata… “sudahlah abahnya… depa budak kecik lagi, tak tau apa-apa.”
              Kasih, walaupun masa itu masih kecil… tapi Kasih tetap dapat menangkap apa yang di maksudkan dengan `depa budak kecik lagi, tak tau apa-apa’.   Kasih menyimpan niat, satu saat akan dirungkaikan juga apa yang dimaksudkan oleh maknya itu.  Begitu juga dengan dendam Abang Sudin, sehingga kini tetap mengatakan yang dia anak `pungut’.
              Masih kuat  di ingatan Kasih, saat mak meninggal dunia.   Di mana waktu itu abah ada di sebelah mak.   Abah tundukkan mukanya dan rapatkan telinganya ke mulut mak.   Kasih melihat abah mengangguk-ngangukkan kepalanya sambil matanya tak lepas memandang Kasih.   Mak pergi ketika usia kasih 12 tahun.   Dan apa yang membuatkan Kasih berasa hairan ada sepasang suami isteri yang dari awal pagi lagi asyik leka memandang Kasih. `Isk… sapa depa tu, dari tadi dok pandang kat aku nih…’ bisik hatinya.
              Kasih juga masih ingat, seminggu selepas maknya meninggal dunia.  Suasana di rumah, masih sepi diselubungi duka dan rasa sedih.  Abah memanggil Kasih.  Terbatuk batuk abah di atas kerusi.  Selepas pemergian mak, sakit abah semakin menjadi-jadi.  Kencing manis abah ditahap kritikal.  Abah sudah tidak mampu lagi berjalan, kini abah hanya mampu duduk di atas kerusi rodanya.
              “Kasih… boleh Kasih janji dengan abah?” kedengaran sayu suara abah.
              “Janji apa abah?”
              “Janji dengan abah, besaq nanti Kasih jadi polis na. Pegawai Polis.” terbatuk-batuk abah untuk menghabiskan perkataan yang hendak disampaikan.
              “Insya Allah abah…” jawab Kasih sambil memandang abahnya.  Sedih Kasih melihat abahnya.  Dalam hati kasih berbisik `andai Kasih bukan anak abah pun, akan Kasih sayang abah sampai bila-bila.
              Hari berganti hari, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun. Kasih membesar sama seperti anak gadis yang lain.  Ketika umur kasih menjangkau 17 tahun, hidup Kasih seakan terbiar.  Kasih kekurangan kasih dan perhatian.  Bukan kerana kesempitan hidup, cuma terpaksa berpisah kasih.  Abah dan Abang Sudin tinggal bersama Kak Liya dan Kasih terpaksa tinggal bersama Abang Tam di utara.
              Suatu hari, Abang Tam membawa Kasih pulang menjenguk abah di rumah Kak Liya di Kuala Lumpur.  Gembira bukan kepalang Kasih, dipeluknya abah.  Menitis airmata abah begitu juga Kasih.  Sudah susut tubuh badan abah.  Sedang leka Kasih bersama abah, tiba-tiba rumah Kak Liya, didatangi sepasang suami isteri.  Kasih perhatikan dari bawah ke atas, ke atas dan ke bawah.  Kasih pandang wajah abah, seakan ada rahsia di situ.  Tiba-tiba abah bersuara.
              “Kasih… mai kat abah sat…” Kasih yang tidak jauh dari situ datang menghampiri abahnya sambil memberi senyuman kepada pasangan suami isteri tersebut.  Dalam hati Kasih terdetik `ehh… bukan depa ni ka…  yang ada sama masa mak meninggal, awat sebelum ni tak dak pun?’
              “Kasih… abah minta maaf na, mungkin apa yang abah hendak habaq kat Kasih akan mengguriskan hati dan perasaan Kasih…” sambil memandang abah memegang tanganku dengan kuat sekali.  Kasih terdiam, begitu juga yang lain. Kak Liya dan Abang Tam juga diam.  Dari jauh kelihatan Abang Sudin sedang memandang Kasih. Sinis senyumannya.
              “Abah, habaqlah.  Janganlah buat Kasih rasa bersalah dengan abah.  Abah ada rahsia,hendak beritahu Kasihkan?” Balas Kasih. Berkerut sahaja wajah abah.  Seperti besar masalah abah.  Kasih perhatikan juga pasangan suami isteri itu.  Jelas, raut wajah mereka juga kelihatan keresahan.  Rahsia apakah ini?
              “Kasih… sebenaqnya depa  berdua ini…” belum sempat abah menghabiskan ayatnya, Kasih terlebih dulu bersuara.
              “Depa ni, mak bapak Kasihkan? Depa ni, yang buang Kasihkan? Depa ni, yang buang Kasih tepi longkangkan? Selama ni, memang betoila… apa yang Abang Sudin dok habaq kat Kasihkan?” Bercucuran airmata Kasih. Tersekat-sekat suara Kasih menahan getar airmata yang mengalir. Semuanya terdiam. Ternganga mulut Abang Sudin. Entah dari mana, Kak Liya datang menghampiri Kasih, dipeluknya dan diciumnya pipi Kasih.
              “Astarafirullah Kasih… jangan dok kata lagu tu, tu semua tak betoi.” Abah kembali bersuara. “Sebenaqnya, Kasih cucu abah… dan lelaki ni… “ sambil menunjukkan lelaki yang berdiri sebelah abah, “lelaki ini anak abah dan perempuan ini pula menantu abah”  jelas abah. Penjelasan abah itu membuatkan semua yang berada di dalam rumah itu terperanjat. Termasuklah Kak Liya, Abang Long, Abang Ngah, Abang Tam dan juga Abang Sudin. Masing-masing terkejut dengan penjelasan abah.
              “Anak dengan perempuan mana pula ni abah? Arwah mak tau dak?” Tiba-tiba Kak Liya bersuara.  Abah mengganggukkan kepalanya sambil bersuara abah berkata.
              “Arwah mak hang pa tau, dan dia juga sebenaqnya isteri kedua abah.  Isteri abah yang pertama abah tinggaikan dia di Parit Buntaq, Perak.  Panjang ceritanya.  Sudahlah.  Eh! Mana pi Kasih?”
              “Kasih… Kasih…” tiba-tiba terdengar suara perempuan memanggil Kasih dari luar biliknya. `Ya Allah, mengelamun  rupanya aku…’ bisik Kasih.   Di luar biliknya, Kasih masih lagi terdengar suara perempuan memanggil namanya. `Mesti Ibu ni’ bisik Kasih lagi.  Lalu Kasih menolak kerusi rodanya, pusing dan menghala ke pintu biliknya. Dipulasnya tombol pintu bilik dan kelihatan susuk tubuh ibunya. Ibu kandungnya.
              “Kasih… cuba lihat siapa yang datang?” sambil ibu menunjukkan ke arah seorang lelaki yang berbadan tegap sedang berdiri bersebelahan ibunya dan seorang perempuan yang agak gempal badannya, berdiri di sebelah lelaki itu.
              “Kak Liya! Abang Sudin!” Jerit Kasih.  Bergegas mereka berdua menerpa ke arah Kasih pabila mendengar suara Kasih menyebut nama mereka. Berpelukan mereka sambil airmata bercucuran dari tiga saudara. Lama… setelah itu terdengar suara abang Sudin.
              “Kasih… maafkan segala kesalahan abang kepada Kasih selama ini.  Hati abang runsing kerana dibayangi kisah silam.” Terang Abang Sudin kepada Kasih.
              “Eh! Sudin.  Apa yang hang dah buat kat Kasih sampai dok minta maaf ni?” Tanya Kak Liya sambil memandang Kasih.
              “Kak Liya, kalau hang nak tau… akulah yang tolak Kasih dari tangga atas sampai jatuh ke bawah dan menyebabkan dia tidak sedarkan diri.”
              Ternganga mulut Kak Liya, terkejut dengan berita yang baru didengarnya.  Terdiam Kasih tidak terkata. Padahal Kasih sudah tahu dan sengaja dia tidak mahu berterus terang kepada Kak Liya.  Bimbang dendam Abang Sudin terhadapnya berpanjangan.  Kak Liya cuba mengingati kisah lima tahun yang lepas.
              “Kak Liya! Kak Liya! Cepatlah… Kasih jatuh tangga!” Jerit Abang Sudin.
              “Ya Allah Sudin, lagu mana boleh jadi macam ni. Sudah! cepat telefon ambulan.”
              Kasih dikejarkan ke Hospital Besar Kuala lumpur dan dihantar ke bahagian unit Pakar Perunding Ortopedik.  Kak Liya resah menanti di luar pintu pembedahan.  Tiba-tiba kelibat seorang doktor keluar dari bilik pembedahan.
              “Maaf, boleh saya jumpa ahli keluarga pesakit yang bernama Kasih binti Syamsudin.”
              “Ye, saya doktor.  Bagaimana dengan keadaan adik saya doktor?”
              “Maaf puan.  Saya Doktor Azmi, kami sudah melakukan yang terbaik buat adik puan.  Kejadian yang berlaku mungkin menjadi trauma kepadanya.  Buat masa ni dia masih belum sedarkan diri.  Saraf tunjangnya mengalami kecederaan yang serius yang di sebut sebagai `spinal cord injury’ yang bermaksud kecederaan sekunder, kerosakkan lanjut pada saraf tunjang selepas trauma. Ini akan menyebabkan kedua-dua kaki adik puan akan lumpuh.  Apa lagi yang harus Kak Liya lakukan, dia hanya mampu berdoa agar suatu masa nanti Kasih akan dapat berjalan seperti biasa. `Ermm, mujur abah sudah tiada…’ Bisik Kak Liya.
              Seminggu selepas kejadian, barulah Kasih sedar dari koma.  Pada awalnya Kasih menangis meratapi nasib dirinya.  Namun setelah doktor dan Kak Liya memberikan nasihat dan kata semangat buat Kasih barulah dia dapat menerima hakikat yang dia kini sudah lumpuh. 
               “Abang Sudin… Kasih sudah maafkan segalanya kesalahan yang pernah abang lakukan kepada Kasih. Sedikitpun Kasih tidak marah malah Kasih bersyukur kerana kita dapat berbaik-baik semula. Allah sudah makbulkan doa Kasih.” Balas Kasih sambil tersenyum memandang abangnya dan juga Kak Liya.
              “Ermmm… Kasih cuba tengok kat luar tu… siapa? Kata Kak Liya sambil menolak kerusi roda yang Kasih duduki.  Rupa-rupanya anak-anak buah Kasih atau mungkin juga sepupu Kasih.  Kasih memandang wajah Kak Liya minta diberikan penjelasan.  Sambil tersenyum Kak Liya bersuara.
              “Cuba Kasih pandang, apa yang ada di tangan mereka?” Kasih memandang, lalu   tersenyum sendirian.  Mengertilah Kasih kini.
              “Itu novel Kasihkan?  Saat Hati Merindu. Kak Liya beli bulan lepas. Selepas Kak Liya baca, Kak Liya dapat rasakan yang ini hasil karya Kasih.”
              “Macam mana Kak Liya boleh tahu, sedangkan tiada siapa pun yang tahu? Malah orang dalam rumah ni pun tidak tahu?”
              “Kasih, ingat tak? Kak Liya pernah jumpa diari Kasih. Kak Liya sudah pun membacanya. Tu… nama Cendrawasih tu, kan nama tu… yang Kasih selalu tulis dalam diarikan?”  
              Kasih tersenyum memandang Kak Liya, lalu dia memanggil anak buahnya atau mungkin juga sepupunya.  Mereka menghampiri Kasih dan menghulurkan kepada Kasih novel Saat Hati Merindu untuk ditandatangani olehnya.  Tersenyum Kasih.  Dalam masa yang sama abang Sudin menyuarakan keinginannya.
              “Kak Liya, apa kata kita semua pi melawat kuboq mak ngan abah kat Parit Buntaq? Rasanya sudah lama kita tak pi kan? Nanti kita habaq kat Abang Long, Abang Ngah dan Abang Tam.”
              “Okay juga tu… memandangkan Kak Liya masih lagi bercuti bolehh kita pi.  Hang talefonlah depa.   Kalau boleh esok kita pi?” Balas Kak Liya. Lalu Kak Liya meminta kebenaran dari ibu Kasih yang juga merupakan kakak ipar Kak Liya, untuk membawa Kasih bersama.   Alhamdulillah, ibu memberi kebenaran.
              Hari yang di nantikan pun tiba.  Gembira hati Kasih.  Perjalanan yang mengambil masa selama lima jam, sedikit pun tidak menjemukan Kasih.  Malah Kasih amat gembira, ya lah… selama ini semenjak kemalangan itu Kasih hanya memerap di dalam rumah sahaja.
              Abang Sudin memandu kereta, sampai sahaja di kampung tok saudara mereka… Abang Sudin terus ke tanah perkuburan.  Di parkirnya kereta di tepi jalan.  Kak Liya menurunkan Kasih sementara Abang Sudin mengambil kerusi roda Kasih.  Dari jauh kelihatan Abang Long, Abang Ngah dan Abang Tam menanti mereka.  Rupanya mereka lagi awal sampai dan bermalam di rumah Pak Su E. Anak kepada adik abah. Ini bermakna Pak Su E adalah anak buah arwah abah.
              Abang Sudin menolak kerusi roda Kasih menghampiri kubur arwah abah begitu juga arwah mak.  Kebetulan jasad mereka di kebumikan bersebelahan.  Masing-masing berdiam diri.  Membaca al-fatihah kepada kedua orang tua mereka.  Bagi Kasih pula, mereka tetap abah dan maknya walaupun hakikatnya mereka adalah datuk dan nenek Kasih.
              `Ya Allah! Sampaikanlah seumpama pahala bacaanku kepada roh atok dan nenekku. Ampunkanlah dosa mereka, kasihani dan sejahterakanlah mereka, maafkanlah kesalahan mereka, muliakan kedatangan mereka, lapangkanlah kubur mereka, terimalah kebaikan mereka, hapuskanlah kesalahan mereka, dengan rahmatmu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.’ Doa Kasih.  Menitis airmata Kasih.  Rindu kasih kepada kedua orang tuanya yang sentiasa menjaganya dengan begitu baik ibarat menatang minyak yang penuh.  Tak pernah dijentik oleh atok atau neneknya.  `Arrr… kenangan akan terus terpahat di ingatan.’ Bisik Kasih.
              `Abah, Kasih minta maaf… Kasih tak dapat tunaikan janji Kasih kepada abah.  Fizikal Kasih tidak seperti dulu. Tetapi Kasih sudah dapat apa yang Kasih impikan.  Abah ingat tak, Kasih pernah bisikkan kepada abah dulu. Kalau Kasih tidak dapat menjadi seorang pegawai polis, jadi seorang penulis pun tak apakan.’
              Gerimis senja dan diselang-seli dengan hembusan angin itu seakan-akan mengerti apa yang dibisikkan oleh Kasih. Dan Kasih perasaan seperti ada yang memerhatinya lalu terdengar bisikkan suara yang berkata. ` Tidak mengapa sayang, asalkan kamu bahagia.’  Kasih terkesima.
              `Andai Kasih bukan anak abah pun, akan Kasih sayang abah sampai bila-bila.  Kasih sayang abah tetap akan Kasih kenang.  Terima kasih abah.  Terima kasih mak. Bisik Kasih di dalam hatinya.
              Sebelum mereka pulang ke Kuala Lumpur, mereka bermalam di rumah Pak Su E semalaman. Pada malam itu juga sedikit kenduri tahlil di jayakan oleh saudara mara terdekat.  Semoga abah dan mak aman di sana.
              Saat hati merindu, pada siapa harus kudakap.

Hasil Nurkilan.
Anak Seni.
Nur Dila. 8/12/13 4.00 am.

                                                                                                                           













BOBOY



                             Boboy...

                                 Boboy...
                                Siapakah gerangan
                                Dimanakah dia
                                Masih adakah dia
                                Seorang insan yang di gelar Boboy...
                                               
                                Boboy...
                                Gelak dan tawamu
                                Suara mu yang merdu
                                Masihkah seperti dulu
                                Sewaktu bersama mencari ilmu...

                                Boboy...
                                Satu nama seribu kisah
                                Satu wajah penuh ceria
                                Tiada lagu sunyilah dunia
                                Tiada di kau sepilah rasanya...


                                        LOVE U BOBOY
                                        IKMSP



                                        nurdila91
                                       

Tersesat Di Bumi Sendiri.


Sudah sekian lama aku idamkan untuk menjadi seorang penulis, tetapi tidak kutahu  bagaimanakah caranya? `Apakah aku berbakat?’ Itulah yang sering aku katakan di dalam hati setiap kali kata-kata puitis yang aku coretkan di atas kertas hanya dipandang sepi. Pen dan kertas memang tidak boleh dipisahkan denganku. Ibarat lagu dan irama, seiring. Jika terbit saja ilham di hati, pen dan kertas akan cepat kucari. Jari dengan pantas menulis kata-kata puitis. Tetapi sayang, tiada siapa yang sudi membaca, dan akhirnya ia terbiar begitu saja. Lebih parah, bila dibuang sahaja ke dalam tong sampah. Itulah aku, sentiasa mensia-siakan anugerah yang diberikan olehNya.‘Arrrr… bagaimana ye…’ mengeluhku sendirian.  ‘ Apa kata kalau aku tulis sahaja di laman muka buku. Pasti ada kawan-kawanku yang suka atau komen.’  Mungkin dengan cara ini dapat aku kembangkan lagi bakatku yang sedia ada ini. `Boleh juga menjadi penghibur mereka.’ Bisik hatiku lagi.

Di keesokkan harinya, seawal pagi… aku memberanikan diri memulakan bicaraku dengan kata-kata di bahagian status.  Sahaja aku mulakan dengan kata-kata jiwang.  Memancing perhatian mereka.

`Pandanglah ke arah mana pun kita, Allah tetap bersama. Menangis, bersedih macam manapun pasti ada tawa di hujungnya…’

`Kau berikan aku senyuman, lalu kutersenyuman, namun saat kau hulurkan tanganmu aku tergamam. Mana mungkin kita bersalaman sedangkan kita bukan muhrim. Maafkan aku…’
`Sayang… andai jodohku untukmu akan kupertahankan cinta ini?’

Tak cukup dengan ayat-ayat jiwang, aku tambah pula dengan beberapa rangkap pantun. Sambil menunggu balasan komen dari rakan-rakan laman muka buku, aku layari status-status daripada rakan-rakanku yang lain. Tiba-tiba...

“Oii, Dila dah mula berjiwang karat ke, kau?” – Suraya Sulaiman.

“Dila, kau bercinta lagi ke?”– Inda

“Oiii Dila, dah buat tebiat ke kau?” – Mat Selayang.

“Hihihihihihi… kawanku, ayat jiwangmu buatku teringat kenangan lama” – Amoi.

 Bermacam komen yang kuterima. Aku tersenyum apabila membacanya. Saban hari aku menulis kata-kata puitis di laman muka buku.  Ada yang memuji ada juga yang mengeji.  Tapi aku biarkan saja.  Buat apa hendak  dilayan mereka yang tidak tahu dan mengerti insan seni seperti aku.  `Seni ke?’ Ketawaku sendirian.Bermula dari situ, aku semakin berkeyakinan.  Kata-kata semangat dari kawan-kawan di laman muka buku, menjadikan aku semakin berani.  Malah, jika tidak menulis, pasti mereka akan menanyakan kenapa aku tidak menulis?  ` Mati idea ke?’ tanya mereka.

Tidak pernah aku meyangka sama sekali, segala tulisanku dan juga kata-kata puitisku menjadi perhatian daripada seorang sahabat baru yang kukenal melalui laman muka buku. Dalam sibuk aku melayari internet dan melihat status serta komen dari kawan-kawan di laman muka buku, aku terlihat ada seseorang yang mengirim pesanan ingin menjadi rakan di bahagian mesej.

“Salam perkenalan” – Nm.

“Eh… siapa ni? Eh, ini bukan ke penulis novel APUD. Teka ku. Tapi tak apalah, boleh dapat sahabat baru.”

“ Salam perkenalan kembali. Akak ni... penulis APUD ye, jujur saya kata... saya suka cara tulisan akak. Ringkas tapi padat dan menarik." – Nur Dila.

“Terima kasih sebab sudi baca hasil tulisan saya.  Saya suka dengan bahasa awak, puitis dan menarik. Kalau diasah dan digilap pasti akan membuahkan hasil.” – Nm.

“Terima kasih” – Nur Dila.

“Cubalah bergabung dengan Group Mari Menulis, manalah tahu boleh dapatkan ilmu. Saya perhatikan Dila ada bakat menulis. Cuba lah.” – Nm
.
“Insya Allah dan terima kasih” – Nur Dila.

Tanpa membuang masa dan waktu, aku segera mencari Group Mari Menulis yang diperkatakan oleh sahabat baruku itu. `Ahh, ini dia.’ Pendaftaran Group Mari Menulis.  Bengkel Asas Penulisan dan Belasah Karya. `Ermmm… menarik’ kata hati kecilku dan terus membacanya satu persatu. Aku perhatikan bila tharikhnya, 23/11/13 dan aku perhatikan pula tharikh di kelendar yang tersedia ada di dalam bilikku, 20/10/13. `Oh, masih ada sebulan lagi dari sekarang.’ Bisik hatiku lagi.

`Apa syaratnya ye?.’ Aku teruskan lagi bacaanku. `Berapa pula harganya ye?’ Bermacam-macam bermain di mindaku ketika itu. Perasaan membuak-buak ingin tahu membuatkan aku leka sebentar. 

Lantas, tanpa membuang masa aku memberanikan diri memulakan perkenalan. Alhamdulillah salamku disambut dan seterusnya aku telah menjadi sahabat di dalam group Mari Menulis. Dengan bermodalkan RM 50.00, bermulalah langkah pertama aku ke dunia baru. Dunia penulisan. Dunia yang aku cari selama ini. Bukan lagi angan-angan, tapi kepastian.` Yang penting aku suka.’ Itulah yang selalu kubisikkan ke dalam sanubariku.

Dari situ bermulalah episodku, mengarang dan menulis. Apa saja yang terlintas di mindaku segera aku letakkan di bahagian status. Dari nada gembira bertukar duka, semuanya kuluahkan. Dan yang paling mengembirakan hatiku, sahabat baru semakin bertambah dan yang aku terasa amat berbangga sekali, apabila ramai juga penulis yang sudi menerima salam perkenalan dariku. Ini menimbulkan kebangkitan semangatku yang membara. Aku menjadi semakin yakin kini. Tidak mungkin aku berundur. Itu nekadku.

Semakin hari tulisanku menjadi bahan bacaan mereka. Ada yang suka, ada yang memberi teguran dan nasihat, ada yang perbaiki gaya olahan ayat. Semuanya aku terima dengan hati yang terbuka. Bagiku selagi ilmu itu tidak berbau negetif, selagi itu akan kupelajari. Untuk menjadi seorang novelis itu mungkin tidak. `Tapi siapa tahu, mungkin dengan berkat dorongan para sahabat, mungkin suatu hari aku juga bergelar novelis.’` Siapa tahu.’ Hati kecilku sekali lagi berkata.

Pepatah pun ada mengatakan, `kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.’ Kalau aku tidak mencubanya sekarang, bila lagi. Peluang sudah ada, cuma hendak dengan tidak sahaja.  `Tepuk dada tanya selera’.

Saban waktu, aku menghitung hari. Penuh debaran, penuh semangat. Apatah lagi, dalam diam tak diam aku telah pun menghasilkan cerpen, dengan hasil tulisanku sendiri.  Untuk diserahkan kepada pihak group Mari Menulis sebagai bahan untuk dibedah dan belasah karya.  Betapa bangganya aku.  Walaupun masih ada kesalahannya, tetapi tidak mengapa, ini baru permulaan.  `Wah… Dila, dah boleh menulis kau rupanya.’ Lagi sekali hatiku berkata.

Tinggal seminggu lagi.  Dalam seminggu itu bermacam-macam yang aku fikirkan.  `Apakah aku boleh menjadi seperti mereka?’ dan aku mencuba menjaga kesihatan aku dengan sebaik mungkin malangnya dugaan datang melanda, aku di serang demam panas.  Segera aku mengambil ubat.  Aku tidak mahu ianya mengganggu keinginanku yang lama tersimpan.   `Ya Allah, izinkan aku mencuba bakat yang telah kau berikan padaku. Berikanlah kesihatan yang baik padaku. Tolonglah hambamu ini Ya Allah’ doaku saban waktu, mahupun tika solat ataupun tidak.

 Dari seminggu, berganjak ke tiga hari… kemudian dua hari… kemudian hanya tinggal sehari sahaja lagi.  Allahamdullilah, kesihatanku semakin pulih.  Walaupun masih ada sisa batuk kedengaran tapi aku yakin, esok pasti ada buatku.  Aku mula membuat sedikit persediaan.  Pen, buku nota dan tulisan-tulisan yang masih ada di simpanan aku telah pun aku letakkan di dalam beg galasku.  Peta dan alamat tempat untuk diadakan bengkel juga telah disimpan di dalam telefon bimbitku dan kupastikan   juga bateri talefonku mempunyai kuasa yang secukupnya.  `Manalah tahu, kalau ada sesi pengambaran bersama peserta ataupun dengan penulis novel, boleh aku bergambar bersama.’ Anganku.

Sebelum aku memejamkan mata, terfikir olehku bagaimanakah  caranya hendak ke sana nanti.  Kalau memandu, risau pula tidak jumpa jalannya.  Jadi, aku bulatkan hati untuk menaiki komuter sahaja.  Terbayang sudah di kotak fikiranku, apa yang akan aku lakukan untuk sampai ke sana dengan selamat dan tidak menyusahkan sesiapa.

Jam loceng yang sentiasa berada disisiku berbunyi, dengan segera aku bangun.  Kedengaran sayup azan subuh berkumandang di masjid yang berdekatan dengan rumahku. Selesai sahaja sembahyang subuh, aku segera ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi buat anak-anakku.  Kemudian aku segera menyiapkan diriku seadanya.  Sekali lagi aku berteka-teki dengan diriku sendiri `mulut kata bawalah kereta, tapi hati kata jangan, nanti takut sesat jalan, naik aja komuter… pasti selamat. Lalu kuturutkan kata hati.

Aku pandu keretaku hingga ke Kepong Sentral. Dari situ aku akan menaiki komuter hingga ke K.L. Sentral, dan seterusnya ke Taman Datuk Harun.  Itulah perancangan awalku.  Aku perhatikan jam di telefon bimbitku.  `Arrr… masih awal lagi, aku tercongak-congak mengira waktu.  Insya Allah… moga selamat sampai.’ Doaku.

Perjalanan pada mulanya bergerak dengan lancar sekali.  Dalam hati berbunga riang.  Yang diimpikan kini sudah semakin berada di gengaman.  Ilmu yang diberikan akanku jadikan azimat dan bekalan untukku mengembangkan bakat yang sedia ada. Tersenyum aku sendirian.

Aku tiba di K.L Sentral seawal jam 7.30 pagi.  Aku singgah sebentar di 7 eleven. Hajat di hati pada mulanya ingin menaiki komuter seterusnya dan berhenti di Taman Dato Harun, tetapi entah bagaimana aku terus keluar ke jalan besar dan menahan sebuah teksi.  Teksi tersebut berhenti, dan aku pun membuka pintu hadapan lalu bertanya.

           “Assalamualaikum pak cik. Saya ni, nak ke Taman Sri Manja, boleh pak cik bawakan saya ke sana?” Tanyaku.

            “Oh… naiklah nak.” Balas pak cik tersebut.  Aku pun memasuki ke dalam perut teksi dan teksi itupun terus meluncur lagu.  Dalam hati masih lagi berbunga riang.  `Harap sampai awal, nanti boleh sarapan pagi dulu’ bisik hatiku.  Aku perhatikan sekelilingku, sudah berubah benar jalan di sini. Seingat aku 10 tahun yang lalu aku biasa ke sini. Tapi, ialah zaman dah berubah, semakin bertambah maju.  Perjalanan masih seperti biasa, aku sedikit tidak merasa syak wasangka yang rupanya pak cik pemandu teksi ini tidak tahu jalan yang hendak dituju. Di sini lah bermulanya episod dukaku.

             “Eh… pak cik kita ni kat mana, saya rasa macam dah lama sangat dalam teksi ni? Tengok jam pun dah menunjukkan angka 8.00 pagi.?” Kataku

              “Anak nak kemana tadi?” soal pak cik teksi.

             “Ohhh, saya nak ke Perpustakaan Awam Taman Sri Manja.” Jawabku.

             “Pak cik, kenapa pak cik nak ke Taman Sentosa, saya nak ke Taman Sri Manja?

              “Oh… ye lah, terlepas simpang pula tadi, tak apa kita pusing semula.”

Aku sudah mula merasa tidak sedap hati.  Duduk aku pun sudah tidak tentu arah, sekejap aku pusing ke kanan sekejap lagi ke kiri.    Aku perhatikan tanda jalan.  Lagi sekali aku bersuara.
“Pak cik, pak cik tahu ke tidak jalan nak ke Taman Sri Manja ni?” soalku lagi. Kali ini aku perasan yang nada suaraku sudah sedikit kasar.

             “Pak cik rasa dah betul dah simpang yang pak cik masuk ni nak? Tapi mana jalan PJS 3/32 ye?”

              “Ehhh… pak cik jangan tanya saya, saya lagi lah tak tahu. Kalau saya tahu buat apa saya naik teksi. Baik saya pandu kereta saya sendiri. Tak, sekarang ni saya nak tanya pak cik sekali lagi… pak cik tahu ke tak jalan kat sini? Pak cik bukan orang sini ke?” Tanya ku lagi. Kali ini memang suaraku dah semakin tinggi dan kasar.

          “Memanglah tempat pak cik, nak. Tapi tak tahu pulak ada perpustakaan, yang pak cik tahu… tadika adalah” jawab pak cik tersebut.  

           “Cuba anak tanya orang yang berniaga di tepi jalan tu, dia tahu tak?” kata pak cik tu lagi. Dalam hati aku mula berkata, `eh… orang tua ni, aku pulak yang kena tanya ke?’ Lalu pak cik teksi tu pun berhenti di bahu jalan. Aku pun turun dan menghampiri mak cik tersebut lalu kuberikan salam.

           “Assalamualaikum mak cik. Mak cik saya nak tanya mak cik, tahu tak Perpustakaan Sri Manja kat mana?” soalku. 

           “Mualaikummussalam, maaf nak… mak cik pun tak tahu, nak.” Sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.  Senang aja mak cik tu menjawabkan. Hati dah mula sakit. Aku perhatikan jam sudah pun 8.30 pagi. Ada lagi setengah jam, untuk aku sampai ke tempat yang hendak di tuju. Masuk kali ini sudah kali kelima  aku menanyakan soalan yang sama kepada setiap peniaga di tepi jalan. Jawapannya tetap sama. `Tidak tahu’

Riak wajahku sudah bertukar menjadi mendung.  Dalam hati, sudah bermacam-macam yang aku fikirkan. `Ya Allah, bantulah hambamu ini. Permudahkanlah urusanku dan kau tunjukkanlah jalan arahku.’ Doaku dalam hati.  Aku mulakan perjalanan dengan bacaan `Bismilahhirrahmannirrahim’. Nekadku dalam hati, akan kutemu juga tempat yang hendak dituju. Biarlah lambat asal jangan tak sempat.

Cuaca di luar sudah menampakkan sinaran mataharinya. Bagaimana sakitnya terkena bahang panas mentari, sakit lagi hatiku di saat itu.  Sekali lagi aku pandang jam di telefon bimbitku.  Niat untuk bersarapan pagi musnah kini, kerana di waktu begini  pun, aku masih belum lagi kelihatan papan tanda jalan PJS 13/32.  Setiap lorong jalan kususuli, tapi tidak juga aku temui.  Sekali lagi aku bersuara.

             “Pak cik, pak cik tahu tak? Sudah berapa kali kita berpusing di tempat yang sama. Tak kan lah pak cik langsung tak pernah masuk jalan ke sini. Habis tu buat apa jadi pemandu teksi, kalau jalan di taman perumahan sendiri pun pak cik tak tahu?”

Pemandu teksi itu sedikit pun tidak bersuara.  Malah menambahkan sakit di hati aku sahaja. Cubalah bayangkan, aku yang sudah terlewat ini, baginya  macam tiada apa yang berlaku, boleh berlagu lagi.  Kemarahanku kian memuncak, dan aku cuba untuk tidak berkurang ajar dengan orang tua.  Namun aku bersuara juga setelah agak lama kubiar pemandu teksi itu membawa teksinya tanpa haluan. Aku perhatikan di meter tambang. Dalam hati mula timbul prasangka yang bukan-bukan. `Pak cik ni, nak pekena aku ke?’

           “Pak cik, kalau pak cik dengan saya berada di negara China, tak apalah kita sesat. Ini tidak, kita berada di Malaysia pak cik? Di bumi kita sendiri, di daerah pak cik sendiri. Macam mana sampai pak cik tak tahu jalan di sini.  Nampak sangat pak cik dan anak-anak pak cik tak pernah ke perpustakaankan” tajam sindiranku. 

            “Tak apalah pak cik, ini akhir ihktiar saya… kita gunakan `GPS’. Pak cik ikut sahaja arahan saya” kataku lagi.

Alhamdulillah, dengan berpandukan alat `GPS’, ahkirnya perpustakaan yang kucari itu telah selamat aku temui. Dalam hati timbul rasa kesal, kenapa dari awal lagi tidak aku gunakan sahaja hikmatnya. Tetapi, ialah tak terlintas di akalku waktu memulakan perjalanan tadi.

 Masaalah timbul sekali lagi bila masa aku ingin membayar tambang teksi tersebut. Terpampang jelas di depan mataku harga yang perlu aku bayar. Aku hulurkan tiga keping wang kertas rm10.00.   Pak cik  teksi tersebut memandang aku sambil berkata.

             “Nak, bayar kat pak cik rm10.00 sahaja sudah cukup.  Pak cik rasa kesal pula, sebabkan kelalaian pak cik, anak sudah terlewat.  Macam mana pak cik boleh tak terlintas nak masuk lorong ni tadi.”

             “Pak cik, jangan macam tu… pagi ini rezeki pak cik. Pak cik ambillah… saya ikhlas, Cuma saya minta, pak cik maafkan saya kerana bercakap kasar dengan pak cik.  Bukan apa pak cik, dalam menuntut ilmu… kita tak boleh terlewat walau pun seminit. Pak cik tahu kenapa? Kerana minit yang pertama itulah akan bermulanya langkah pertama kita untuk berjaya. Itu yang selalu saya terapkan dalam hati saya. Tak apalah pak cik ambil duit ni, saya ikhlas. Dan satu lagi… setiap apa pun pekerjaan yang kita buat biarlah ihklas pak cik.  Pekerjaan pak cik ni mulia tau? Jadi janganlah pak cik sia-siakan. Selepas  ini, rajin-rajinlah pusing-pusing di dalam taman ni pak cik.  Supaya tidak berlaku lagi sejarah sesat di bumi sendiri.” Kataku panjang lebar. Pemandu teksi itu, hanya tunduk terdiam tanpa sebarang kata.  Wang yang aku hulurkan di simpannya di  dalam poket baju. Sekali lagi aku memohon maaf sebelum keluar dari dalam teksi.

            Pintu perpustakaan aku tolak, aku disambut dengan senyuman oleh Puan Monalita Mansor, salam disambut. Di situ juga aku bertemu dengan Ayahanda Chik dan juga Puan Aiza Zizan. Rupanya sesi bertemu dengan penulis sudah pun bermula. Novelis Haiza Najwa sedang berceritakan pengalaman beliau ketika menulis. Aku yang masih kebingungan hanya mampu berdiam diri. Sakit hati masih terasa.  Tapi cuma seketika sahaja, selepas itu aku kembali ceria… segala ilmu yang di berikan ku simpan rapi di ingatan.  Bukan senang untuk berjaya.  Mungkin ada rahmatnya di kemudian hari.  Siapa tahukan, suatu hari nanti aku juga akan menjadi seperti mereka.  Seorang penulis yang dikenali ramai.

Di dalam bengkel tersebut berbagai ilmu yang dapat aku pelajari.  Bagaimana ingin menggunakan tatabahasa yang betul dan sebagainya.  Kata seorang guru, untuk menjadi penulis kita perlu banyak membaca, berkawan dan juga berjalan.  Dan perjalanan aku hari ini telah banyak memberikan pengajaran kepada aku.

Tersesat di bumi sendiri mengajar aku supaya lebih mengambil berat dengan persekitaran kita.  Memang tak di duga, benda yang di depan mata jarang untuk kita kenali, malah yang jauh sibuk pula kita mencari.

 Majlis bersurai sekitar jam 4 petang. Terasa terlalu cepat waktu berlalu. Ilmu yang di beri amat berharga. Terima kasih kepada mereka yang menjayakan Group Mari Menulis ini yang mana dapat menyungkil bakat yang dianugerahkan dari Allah Taala. Ilmu yang dicurahkan tidak ternilai dan hanya Allah yang dapat membalas jasa baik mereka.  Sekali lagi terima kasih buat semua barisan para admin.  Terima kasih Group Mari Menulis.

Hasil Nurkilan.

Anak Seni. Nur Dila