Wednesday, 22 January 2014

Pulanglah Suamiku

              Bila keriangan singgah di hati, kesepiankan  berlalu pergi.  Namun hanya seketika.  Bila hati dan perasaan menjadi satu, jiwa menjadi resah dalam mencari sebuah pengertian abadi.  `Apakah masih ada sinar kebahagiaan? Aku pasrah dan hanya berserah kepadamu ya Allah, agar segala pengorbananku ini menjadi saksi di atas kehidupanku.  Hanya DIA yang mengerti.  Namun,  andai kesepian Ini telah tersurat untukku, berikanlah aku kekuatan dalam kepasrahan, keredhaan dalam kelukaan, kekuatan dalam kepayahan, untukku terus meniti ranjau kehidupan yang penuh onak berduri lagi berliku.’
              Cuaca yang agak dingin di luar membuatkan Dila lebih senang mengurungkan dirinya di dalam bilik tidur. Memandangkan hari itu hari minggu, anak-anaknya lebih suka melakukan axtiviti mereka bersama rakan masing-masing.  Bagi diri Dila pula masa hari minggu inilah masa untuknya berehat.   Sedang enak mengelamun sendirian di biliknya, Dila di kejutkan dengan bunyi ketukan dan salam dari luar rumah. Dengan pantas Dila bangun dan mencapai tudung lalu disarungkan ke kepalanya. Di luar masih lagi kedengaran orang memberi salam.
              “Waalaikumussalam, ye… sebentar.” Jerit Dila dari dalam.  Selepas pintu dibuka, terkejutnya Dila apabila dirinya dikunjungi oleh insan yang amat dikenalinya.  Sambil menghulurkan tangan Dila bersuara.
              “Eh, mak. Masuklah… mak datang dengan siapa? Mana yang lain, mereka tak ikut  ke?” soal Dila bila melihat mak mertuanya hanya berdiamkan diri.
              “Duduklah dulu mak, Dila ke dapur kejap.”
              Pertanyaan Dila hanya dipandang sepi oleh mak mertuanya.  Hati Dila mulai diserang  dengan pertanyaan. Tiba-tiba perasaan risau datang menerjah mindanya. `Arrrr… mungkin sekadar datang melawat aku.’ Bisik Dila di dalam hatinya.  Siap air yang dibancuhnya, dicarinya pula tin biskut, dikeluarkan beberapa keping biskut lemak manis dan diletaknya ke dalam piring.  Dalam keadaan begini apalah lagi yang dapat dihidangkan di depan tetamu. Datang mengejut, itu sahajalah yang dapat dihidangkan.
              Dila menatang dulang yang berisi air kopi panas dan biskut ke ruang tamu. Mak mertuanya masih di situ.  Setelah air dituangkan ke dalam cawan lalu dihulurkan kepada mak mertuanya.  Mujur disambutnya cawan itu. Lega hati Dila. Lalu Dila duduk mengadap mak mertuanya.  Lantas mak mertuanya membuka bicara memacahkan kesunyian.
              “Emmm, ni… aku nak tanya dengan kau ni? Apa yang dah berlaku dalam rumah tangga kau orang berdua ni?   Apa yang kau dah buat pada anak aku, sehinggakan dia balik duduk di kampung? Seorang diri pulak tu?  Bila aku tanya… tak pulak nak bercakap, diam. Sudah macam orang tak betul, aku tengok.  Cuba kau cakap sikit dekat mak kau ni?”
              “Mak, Dila minta maaf.  Jangan salahkan Dila dalam hal ni, tapi anak mak.  Anak mak yang harus bertanggungjawab.  Anak mak yang perlu diajar, bukan hanya pandai mendiamkan diri dari masalah yang dia sendiri cipta. Kenapa mak tak tanyakan saja kepada dia, dan kenapa Dila pula yang mak persoalkan?”
              “Masalahnya, bila aku tanya dia cuma diam.  Dah bermacam cara aku buat, berubat dengan ustaz pun sudah, begitu juga caranya. Pening aku, tak apalah… tak perlulah kau risau. Tahulah aku nanti, tapi yang penting sekarang ni… keselamatan cucu aku.  Mana mereka? Aku berhajat nak bawa mereka berdua tinggal dengan aku di kampung.  Kebetulan ayah mereka pun, ada di sana.”
              “Maaf, mak. Mak boleh ambil anak mak, tapi tolong jangan ambil anak-anak saya.  Mereka nyawa saya dan tolong jangan pisahkan kami.  Selagi tulang empat kerat ni masih kuat, selagi itulah mereka dengan saya.”
              Dila memandang mak mertuanya, mohon agar dia mengerti sengsara yang di hadapi oleh Dila.  Bukan niatnya untuk derhaka, tapi itulah hakikat yang harus Dila terima selepas suaminya menghilangkan diri setahun yang lalu.  Tak sangka Dila, selepas setahun baru mak mertuanya datang menjenguk mereka.  Apa muslihatnya, dia sendiri tidak tahu.  Dipandangnya cawan yang berisi air panas, lalu diambil dan dibawanya ke mulut.  Tak tahu apa lagi yang ingin disampaikan kepada mak mertuanya.
              “Minumlah mak, air bujang saja.” Tegur Dila bila diperhatikan mak mertuanya juga mendiamkan diri.
              “Biarlah, karang aku minum. Ni, mana Amir dan Amira. Kau biarkan mereka keluar siang-siang hari macam ni.”  Sambil bangun lalu mak mertuanya berjalan ke arah bilik anakku.  Dibukanya pintu bilik, dipandangnya ke dalam. Kemudian ke bilik aku dan Amira pula.
              “Mereka tak ada mak, dah keluar.  Amir, hari minggu begini ada latihan bolasepak di Kelana Jaya dan Amira ke rumah kawannya. Mak jangan risau, saya yang menghantar mereka. Mereka takkan tipu saya mak.  Lainlah kalau anak mak tu?” saja Dila berkata begitu. Supaya mak mertuanya tahu yang Dila bukan saja-saja membiarkan anaknya keluar tanpa pengetahuannya.
              “Baguslah kalau kau buat begitu, jangan kau biarkan saja mereka tu suka hati dengan cara budak-budak sekarang.” Jawab mak mertuanya. Sambil berjalan ke arah dapur pula. Dila perhatikan saja kelakuan mak mertuanya. Malas dia hendak menanyakan apa sebab mak mertuanya jadi begitu.  Habis semua ceruk hendak disiasatnya.
              Setelah berpuas hati agaknya, mak mertuanya kembali duduk lalu diambilnya cawan yang berisi air lalu diminumnya.  Dila masih berdiam diri.  Diperhatikan kelakuan mak mertuanya. Seketika kemudian mak mertuanya bangun dan menghulurkan kepadanya satu sampul surat berwarna coklat, terketar-ketar tangan Dila mengambil sampul itu. `Surat apa pulak ni?’ bisik hatinya.
              “Dalam sampul tu ada duit belanja sedikit, tapi bukan untuk kau… untuk cucu aku.  Buat perbelanjaan sekolah mereka. Kau dengar tak ni?  Esok aku dah nak balik, kalau boleh aku nak jumpa mereka malam ni.  Boleh kau bawa mereka ke rumah pak ciknya di Gombak tu?” terang mak mertuanya.
              “Insya Allah mak, nanti Dila cakapkan kepada mereka.” Jawab Dila.
              Setelah mak mertuanya meminta diri untuk pulang, Dila tanpa membuang masa terus ke biliknya semula.  Bagi Dila, hari minggu adalah hari untuknya merehatkan diri sambil Dila duduk di hujung katil… kenangan setahun yang lalu datang mengimbau kembali.
              “Isk, mana abang ni… tak reti nak balik lagi ke?” rungut Dila sambil menjeling jam yang terletak di hujung meja katilnya. `Dah jam 2.00 pagi ni’ bisik hatinya.  Sedang dia meneka-neka sendirian, telefon bimbitnya berbunyi.  Segera dia menjawab dan terdengar suara suaminya di hujung talian.
              “Dila, abang minta maaf. Abang kena pergi… jaga diri dan anak-anak.”
              “Abang, kenapa ni?  Abang kat mana ni?” Belum sempat Dila menghabiskan ayatnya, talian telah terputus.  Dila cuba menghubungi suaminya, sayang… yang kedengaran cuma suara operator sahaja. `Ya Allah, Kau selamatkanlah suamiku tak kira di mana dia berada.’
              Setelah semalam Dila memikirkan apa yang telah berlaku ke atas suaminya, tanpa dia sedari bila masa dirinya terlelap. Kedengaran sayup suara azan berkumandang.   Lantas dia bangun dan menuju ke bilik mandi dan kemudian solat, usai solat Dila berdoa, `Ya Allah, Kau layarkan aku ke arah cintamu, tuntunilah aku mengapai redhamu. Rimbunan kasihmu aku berteduh.  Berikanlah aku sedikit keinsafan dan kekuatan buat bekalan sepanjang perjalananku.’ 
              Selesai sembahyang Dila segera menyiapkan dirinya, dia harus ke gerainya untuk mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku.  Entah mengapa sepanjang perjalanan hatinya berdebar-debar dan baginya hanya dengan berzikir dapat melenyapkan kegusaran di hatinya kala itu.  Setiba Dila di hadapan gerainya, dia ditegur oleh seorang wanita. Kak Bedah, jiran yang juga berniaga di sebelah gerainya.
              “Eh! Dila, mana suami kau hah? Ohhh, nak sembunyikan diri ye? Kalau dah berhutang tu… bayarlah, ni tidak. Apa dia ingat, duit yang akak beri dia pinjam tu… percuma?” lantang suara kak Bedah menyoalnya.
              “Kak, saya minta maaf… saya betul tak tahu ni… “ balas Dila kembali.
              “ Kak, yang ramai-ramai depan gerai saya ni kenapa kak?” tanya Dila sekali lagi kepada Kak Bedah setelah ku perhatikan dua tiga orang keluar dan masuk ke dalam geraiku.
              “Oh… yang tu, kau kena tanya abang Din? Jawab kak Bedah sambil meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.  Segera aku mendapatkan abang Din.
              “Assalamualaikum abang Din, buat apa ni… buat apa angkat barang-barang saya ni?” soalku
              “Kau tanya aku buat apa?  Kenapa kau tak tanya laki kau? Dah berapa banyak hutang dia pada aku, satu sen pun tak dibayarnya?” Jerkah abang Din kepada Dila.  Terperanjat Dila mendengarnya. Masa bila pula suaminya berhutang.  Selama ini, kalau apa yang tak cukup pada Dilalah tempat suaminya meminta pertolongan. `Ya Allah, musibbah apa lagi yang kau lakukan pada aku bang’ keluh Dila sendirian.
              “Abang Din, boleh Dila tahu berapa jumlah yang dihutangnya? Balas Dila setelah dia melihat kemarahan abang Din kembali tenang.
              “Kalau aku cakap ni… kau jangan marah pula ya?  Dah dikira, ditolak, dicampur… semuanya dalam 20,000 ribu ringgit malaysia.” Balas abang Din.
              “ Ya Allah abang Din, banyaknya… dia buat apa? Saya tak tahu pun?” sambil itu Dila melihat pekerja abang Din memungah satu persatu perabot serta perkakas dapur, lalu dimasukkan ke dalam lori yang sedia ada di luar gerainya.  Saat itu hanya airmata yang mampu mengalir, tanpa sebarang kata Dila tinggalkan tempat itu.  Tanpa Dila sedari kak Bedah mengekori Dila dari belakang lalu dipanggilnya Dila.
              “Dila… Dila… kau nak kemana?”
              “Balik la kak, mana lagi saya nak pergi… hendak meniaga pun dah tak boleh?” balas Dila.
              “Tak apalah Dila, kesian pula akak tengok kau, kerja elok-elok kau berhenti? Dah tu macam mana tu Dila?  Tentang hutang akak tu biarlah dulu, ada duit nanti kau bayarlah.  Kalau boleh cari laki kau tu… biar dia bertanggungjawab sikit.” Terang kak Bedah.  Dila hanya mengiyakan sahaja. 
              Sepanjang perjalanan hati Dila berkata-kata, `Abang, kemana hilangnya dirimu.  Tidakkah kau rasa bersalah, meninggalkan aku dengan segala musibbah ini.  Kejamkah atau berdosakah aku mengatakan kau ibarat suami yang tak berhati perut. Adakah aku pula ibarat belut terkena ranjau.  Secerdik aku tertipu juga dengan lakonanmu.  Kerana sayang… ini pembalasan kau padaku.’
              Dila meneruskan khayalannya, tanpa Dila sedari kedua-dua anaknya telah pulang.  Dengan segera Dila mengesat airmata yang bercucuran ke pipi dengan hujung jarinya.
              “Ibu… ibu, mengelamun ye? Sudahlah ibu… tak perlu dikenang kisah lama?” Terang anakku Amir, sambil diperhatikan adiknya Amira.
              “Apa lagi yang ibu harapkan, ibu dah berjaya sekarang.  Gerai ibu dah semakin maju, dan yang pentingnya hutang-hutang ayah pun dah selamat ibu langsaikan.  Apa yang kami harapkan, ibu jagalah kesihatan ibu.” Balas Amira.  Lantas aku memeluk mereka.  Merekalah permata hatiku.
              `Abang, mengapa perlu ada persengketaan setelah susah payah membina kebahagiaan.  Kenapa wujud rasa tidak keserasian setelah sekian lama bergandingan bahu membina benteng perkahwinan.  Jangan salahkan sesiapa jika tidak berani berikan penjelasan.  Mataku tidak buta, telingaku tidak pekak malah mulutku juga tidak bisu.  Tangan dan kaki pun tidak cacat.  Selagi tulang empat kerat ini masih kuat, akan ku pertahankan permata impian.’
              `Abang, semusim telah berlalu… malah segala pahit getir telah kutempuhi. Dengan rasa rendah diri dan malu, habis sekampung heboh ceritamu.  Gugur berderai airmataku, sindiran dan cacian aku rentasi.  Lepas satu, satu bencana datang menimpa.  Aku ibarat jatuh di timpa tangga… rumah, kedai habis aku jual.  Tapi aku bangga, malah kami semakin bersatu dalam mengeratkan perhubungan kekeluargaan.’
              `Abang, aku susuri lorong yang berliku, malah kutempuhi ranjau yang berduri. Walaupun aku digantung tak bertali, aku sedar ini semua dugaan Ilahi.  Di setiap denyut nadiku, ada getar rindu, di setiap nafasku tetap menyeru namamu dan di setiap langkahku hanya kamu dalam pandanganku.’
              Abang, tak pernah sekali pun aku tidak mendoakan kebahagianmu.  Malah aku semakin mengharap agar kau kembali ke pangkal jalan.  Jalan keinsafan dan kemaafan masih terbuka luas. Begitu juga, jalan pulang masih terbentang luas buatmu. Pulanglah abang, demi anak-anak yang amat merindui dirimu. Begitu juga aku, selagi talak belum kau lafazkan, selagi itulah aku masih lagi isterimu yang sah. Kembalilah wahai suamiku.
              `Ya Allah, jika suatu saat aku kehilangan harapan dan tujuan. Kau berikanlah aku keyakinan bahawa takdirmu adalah yang terbaik buatku. Kau deraikanlah hatiku untuk menerima takdirmu, kerana aku yakin dan percaya perancanganmu adalah yang terbaik dan terindah buatku.’
              `Khas buat suamiku, Azman Bin Othman… andai terdetik dihatimu suatu hari nanti bahawa, kebahagian bukan terletak pada kemewahan… kembalilah.  Tiada titik noktah dalam erti sebuah penyesalan andai dirimu masih tidak berubah.  Di persada janjimu aku masih lagi menanti. Kembalilah.’
              `Juga buat anak-anakku Amir dan Amira, sama-samalah kita berdoa semoga suatu masa nanti akan terbuka pintu hati ayahmu pulang kepangkuan kita. Jangan berputus asa, kerana Allah sentiasa mendengar permintaan umatnya. Teruskanlah berdoa dan yakinlah suatu saat kebahagian itu tetap akan jadi milik kita.’
              Semakin erat dia memeluk kedua-dua anaknya.  “Ibu akan sayang kamu sampai bila-bila.  Hanya kamu harta ibu dan ayah dunia dan akhirat. Andai ayahmu pulang, maafkanlah kesalahannya. Ingat anak-anakku, darah yang mengalir ke dalam tubuh kalian masih tetap darahnya. Hanya itu pinta ibu.” Terang Dila kepada kedua-dua anaknya.
              `Abang. Hidup ini tidak semudah menganyam impian, kerana kehidupan ini bukan seperti menekan butang automatik. Tidak boleh terlalu mengharap untuk sampai ke destinasi impian dengan hanya menekan butang `GO’ tetapi, hidup ini satu perjuangan yang mana kita harus menempuh liku-likunya. Kadang-kadang jatuh, kadang-kadang terluka, dan adakala bersedih… tetapi tidak mengapa.  Kita harus bangun dari sekarang sehingga ke denyutan jantung yang terahkir.’
              Pulanglah… abang.




No comments:

Post a Comment