Thursday, 16 January 2014

Cinta Dila ~ Seadanya aku kau terima


Senja nan merah semakin melabuhkan tirainya.  Dila masih lagi berdiri di situ.  Melempar jauh pandangannya ke arah laut yang tenang.  Sesekali berombak kecil, bermain di gigi kaki Dila.  Di Pantai Remis inilah cintanya bersemi dan di pantai ini jugalah  janji sehidup semati terpatri.  Selama percintaan itu, di sinilah tempat mereka memadu kasih. Masih jelas di ingatannya bagaimana Nazri memujuknya gara-gara kelewatan Nazri untuk bertemunya.  Masih kuat ingatannya saat Nazri melamarnya menjadi suri di hatinya. Namun Dila tidak mengerti dengan sikap Nazri sejak lewat beberapa bulan yang lepas. Nazri tidak riang, tidak semesra seperti selalu. Dila melihat sikap Nazri berbeda sama sekali. Ingin ditanya, bimbang merajuk datang bertandang.
Namun segala persoalan Dila terjawab kini.  Kedatangan keluarga Nazri tanpa di undang mengejutkan mereka sekeluarga.  Perasaan yang sering bersarang dalam hatinya tatkala melihat perubahan sikap Nazri yang semakin lama semakin suram.  Suam, tiada panasnya. Tidak seperti di awal perhubungan mereka.
Menangis Dila, disisi barang hantaran pertunangan yang dipulangkan semula oleh keluarga Nazri. Menandakan terlerailah ikatan pertunangan.  Walaupun diri masih meragui akan keputusan yang dibuat oleh Nazri, tetapi pada siapa ingin Dila nyatakan perasaannya.  Sedangkan semua ahli keluarga tertanya-tanya kenapa ianya terjadi.
 Puas ia memikirkan kenapa terjadinya perpisahan ini.  Walaupun pahit Dila rasai, dia yakin suatu hari nanti akan ada manisnya.  Manis yang akan jadi kenangan sepanjang kehidupannya.  Dila yakin, Allah lebih mengetahui segala apa yang sudah dan bakal terjadi dan dia percaya pada qada dan qadar.
 “Dila, sudah-sudahlah ke pantai tu… awak tu anak dara.  Tak manis dipandang orang,” tegur ibunya sewaktu melihat Dila baru sahaja melangkahkan kakinya memasuki  rumah. Diperhatikan sahaja anak gadisnya itu.
“Ibu, agak ibulah kan…Nazri balik semula tak kat, kampung ni…?” tanya Dila kepada ibunya setelah dia meyalami ibunya.
“Entahlah Dila, ibu sendiri tak ada jawapan dari soalan kau tu? Kenapa, dah jemu menunggu?” balas ibu sambil berjalan ke arah dapur. Dila pula berjalan ke arah biliknya. Sekejap lagi pasti ayah akan pulang dari masjid.  Selalunya bila ayah sudah pulang, mereka sekeluarga akan makan malam bersama.
Suasana di meja makan sepi. Masing-masing melayan fikiran sendiri. Sedang Dila leka mengadap makanannya… suara ibu memecahkan kesunyian.
“Dila, cubalah kau lupakan Nazri tu, entah mana dia sekarang. Mungkin tak ingat kau lagi agaknya…” terang ibu.  Dila masih lagi seperti tadi, diam tanpa sebarang jawapan.  Seketika kemudian Dila bangun dan membawa pinggan nasi yang digunakannya tadi dan diletakkan ke dalam sinki. `Nanti-nantilah aku basuh’ ngomelnya sendirian.
Ibu dan ayah hanya memerhati perilaku Dila, mereka sedar anak mereka terpaksa melalui saat getir.  Putus tunang di saat pernikahkan hanya berbaki lagi sebulan.  Putus tanpa sebab dan paling menyakitkan kehilangan Nazri secara tiba-tiba.  Mereka sekeluarga bingung, puas mereka  mencari jawapan pada setiap persoalannya.  Bagi Dila bukan tiada jejaka lain yang cuba mengisi kekosongan hatinya. Malah rakan ibunya juga ada yang cuba menanyakan tentang dirinya. Tapi semua ditolak baik oleh Dila. Biar apa pun pandangan orang kampung, Dila tetap Dila. Hatinya hanya untuk Nazri.
Tiga tahun berlalu
            Suasana pagi yang dingin membuatkan Dila masih bermalas-malasan di atas katilnya.  Memandangkan sekarang hujung tahun maka sekolah pun bercuti panjang.  Dila yang asalnya ingin ke Langkawi mengikuti kawan-kawan sekampungnya membatalkan hajatnya apabila Mak Senah, ibunya tidak berapa sihat.  Begitu juga dengan ayahnya Pak Ahmad.  Sedang leka mengelamun, terdengar suara ibunya memanggil dari luar.
            “Dila… Dila…! Hai anak dara… tak bangun lagi ke?” Lantang suara ibunya menjerit.
Sambil mengeliat, pusing kanan… pusing kiri… lalu Dila bersuara. “Ibu… orang dah bangunlah…” balas Dila.  Dia lantas bangun dan membetulkan rambutnya yang tidak berikat itu.
Semasa Dila keluar dari biliknya, kedengaran suara ayahnya sedang berbual dengan seorang lelaki. Kedengaran mesra sekali, diselang-seli dengan gelak tawa ayahnya. Dila kebingungan. Siapalah lelaki itu?
            “Ibu! Ibu!” laung Dila sambil berlari mendapatkan ibunya di dapur. Tercungap-cungap sambil berdiri di hadapan ibunya. Menggaru kepalanya yang tidak gatal itu sambil memandang wajah ibunya yang kahairanan melihat dirinya begitu rupa.
            “Kau kenapa, terjerit-jerit ni?” tengking ibu kembali.
            “Ibu, siapa lelaki kat luar tu. Siapa yang bergelak sakan dengan ayah?”
            “Kau tak kenal dia, atau kau buat-buat tak kenal dia?” jawab ibu sambil meninggalkan ikan yang sedang dibasuhnya itu di dalam sinki. 
Lalu ibu berjalan ke ruang tamu. Dila perhatikan jejaka itu sedang leka berbual dengan ayahnya.  Lebih memerangjatkan Dila bila melihat dia menyalami ibu dan memeluk ibu. Seperti mereka mengenali antara satu sama lain. Ibu yang menyedari kehadiran Dila memanggil Dila. Sambil melambai tangan…
“Dila, marilah sini… yang tercegat dekat situ kenapa?”                                                       
Dila berjalan menghampiri ibu dan duduk di sebalah ibunya.  Sambil menundukkan wajahnya memerhati permaidani ibu yang terdampar luas mewarnai ruang tamu rumahnya.
“Dila, ni Nazri.  Bekas tunang kau sendiri. Tak kan tak kenal?” tiba-tiba suara ayah memecahkan kesunyian. Dila… yang sedari tadi diam menundukkan wajahnya segera mengangkat mukanya. Dila pandang wajah ayahnya kemudian dilemparkan pula pandangan kepada jejaka yang bernama Nazri. Lama… kelopak matanya tiba-tiba berair, sedikit demi sedikit bercucuran di pipinya. Tanpa menbuang waktu berlari Dila ke biliknya semula. Dibiarkan pintu bilik itu terbuka. Tidak sedar Dila, bila masa Aden sudah berada di hadapan pintu biliknya.
“Dila… maafkan Nazri. Maafkan kesilapan lalu Nazri. Saya…” kata-kata Aden terhenti di situ apabila melihat Dila memandangnya dengan mata yang membuntang tajam.
“Sudahlah Nazri, tak perlu terangkan dan Dila pun tak mahu dengar sebarang penjelasan.  Baliklah Nazri,” balas Dila sambil menutup pintu biliknya. Nazri hanya memerhati dengan pandangan yang sayu.
Di dalam bilik, Dila menangis sepuas hati… direnungnya keluar tingkap.  Kedengaran kicauan sang unggas, hati Dila dipagut keresahan. Perasaan kesal tiba-tiba menghampiri hatinya. `Arrr… bukan ke dia yang aku tunggu, kenapa aku harus marah dan halau dia. Nazri… maafkan Dila.’ Lalu Dila ke dapur semula.
“Ibu, Nazri dah balik ke? Buat apa dia datang sini?”
“Dila, dah kau suruh dia balik… lepas tu kau tanya ibu buat apa dia datang? Soalan apa yang sebenar kau nak tanya ibu ni?” balas ibu sambil mengacau gulai di atas dapur.
“Dah… lebih baik kau pergi tanya ayah kau tu? Ayah ada kat depan lagi tu… pergilah!” kata ibu lagi sambil menyuruh anaknya bangun dan pergi mengadap ayahnya.
Dila segera mendapatkan ayahnya yang masih lagi ada di ruang tamu. Dila melihat ayahnya yang leka sedang membaca akhbar. Lama Dila memerhati ayahnya. Serba salah dan malu pula Dila rasakan.
“Ah… kau kenapa Dila, pandang ayah macam nak terkam aje? Tiba-tiba ayahnya bersuara membuatkan Dila terkejut.
“Dila nak tanya ayah… Nazri tadi datang sini buat apa? Dah lama ke dia balik sini?” lancar sahaja Dila menyoal ayahnya.
“Itu ayah tak tahu… tapi dia minta izin dari ayah benarkan kau pergi berjumpa dengannya petang ini di tempat biasa, katanya.” Balas Ayah.
Sambil menepuk bahu Dila ayah bersuara lagi.
“Pergilah Dila, kalau masih ada rasa sayang kau kepadanya, dengar dulu penjelasan darinya.  Apa-apa pun kita kena dengar penjelasan dari dia sendiri. Tanyalah dia dengan elok-elok.  Ayah tahu… melihat dari anak mata kau pun ayah dah tahu.  Kau masih cintakan diakan?”
Dila tidak mampu menjawab pertanyaan ayahnya itu.  Dia hanya mendiamkan diri sambil tangannya mengetuk-ngetuk hujung kerusi yang dia sedang duduk itu.  Dia hanya tersenyum memandang ayahnya. Dia kemudian meminta izin daripada ayahnya untuk ke biliknya semula. Hatinya berbunga riang dalam masa yang sama ada sedikit rasa gusar. Apakah cinta Nazri masih ada untuknya.  Dila ingin Nazri jelaskan semuanya.
Pantai Remis. Jam 5.00 pm.
Sedang leka Nazri duduk mengadap ke laut.  Pandangannya di buang ke arah laut yang terbentang luas bersama angin yang bertiup lembut.  Hatinya resah, apakah Dila sudi untuk bertemu dengannya.  Sedang Nazri leka megelamun, tiba-tiba terdengar suara yang amat dirinduinya memberi salam.
“Assalamualaikum Nazri, dah lama menunggu? Maafkan Dila ye…? mohon Dila sambil mendekatkan dirinya disamping Nazri.  Nazri yang sedar akan kehadiran Dila disisinya segera memberi ruang untuk Dila.
“Nazri, maafkan Dila atas sikap Dila pagi tadi.” Terang Dila setelah dia berasa selesa dengan kedudukannya tika itu. Tidak terlalu rapat dengan Nazri.
“Tidak mengapalah Dila, Nazri yang patut disalahkan… pagi-pagi sudah mengadap kat rumah orang.” Tangannya mengoyak-ngoyak daun kering yang dipegangnya.
Dila sempat lagi memberi senyuman manis kepada Nazri, kemudian kembali melemparkan pandangan ke arah laut.  Tenang, kelihatan beberapa ekor burung terbang tinggi dan rendah. Dila ingin segera mengetahui apa sebenarnya berlaku kepadanya.
“Nazri, kalau Dila tanya Nazri jangan marah atau terasa hati ye…?” soal Dila.
“Dila, Nazri tahu apa yang nak Dila tanyakan. Sebelum Dila tanya…  biar Nazri jelaskan sekarang, mari kita duduk kat bawahlah… jom, kat tepi pokok tu,” jawab Nazri sambil menarik tangan Dila.
Dila terperanjat dengan tindakan Nazri, tetapi hanya membiarkan sahaja.  Nazri pula seperti biasa, buat muka seperti tiada apa yang berlaku.  Setelah masing-masing mengambil tempat duduk, mengadap antara satu sama lain.  Dila yang memegang ranting patah meguis-guis pasir.  Semakin lama semakin tinggi kuisnya hingga terkena Nazri.  Nazri cuba mengelak, ahkirnya mereka ketawa riang.
“Nazri, cepatlah cerita…” pinta Dila.
“Begini… Dila, masa kita berkawan dan ahkirnya kita bertunang mungkin ada yang Dila masih tidak tahu tentang Nazri.  Malah keluarga Nazri sendiri tidak tahu apa yang berlaku kepada anak mereka.  Walaupun Nazri berkerja sebagai Engineer Kejuruteraan Awam dengan Jabatan Kerja Raya… tetapi di sebalik kerja yang bagus ada satu sifat buruk dalam diri Nazri.” Terangnya sambil memandang ke arah laut.  Di lepaskan keluhan.
“Kemudian apa yang berlaku…” balas Dila sambil tangannya masih mematah-matahkan anak ranting yang berada di sekeliingnya.  Tidak sabar menunggu cerita selanjutnya.
“Nazri, sebenarnya seorang penagih dadah Dila. Nazri terjebak semasa Nazri tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan sepejabat. Nazri cuba mengatasi dan mengelak dari bertemu mereka, sebab itulah Nazri kembali tinggal dengan keluarga. Walaupun tempat kerja Nazri jauh, Nazri rela berulang alik. Tapi itu semua tidak menjadi, malah Nazri semakin kerap pula mengambilnya… tambahan kerja yang banyak membuatkan Aden semakin leka.” balas Nazri.
“Kenapa Nazri tak bagitahu perkara sebenar dengan Dila, masa tu kan kita dah bertunang… kita dah kenal hati budi masing-masing, dah janji sehidup semati… tapi tindakan Nazri tu… Nazri, sedangkan Allah maha pengampun… inikan pula manusia. Kan banyak tempat pemulihan.” Terangku sambil Nazri mengangguk-nganguk kepalanya tanda setuju.
“Ye… betul tu Dila, dan malam sebelum Nazri menghilangkan diri. Nazri sudah ceritakan pada ibu dan ayah. Nazri yang paksa mereka putuskan pertunangan kita. Padahal mereka cuma beri cadangan supaya pertunangan kita di lanjutkan. Tapi Nazri tak setuju. Maaf Dila, bukan Nazri tak sayang atau cinta. Keputusan Nazri begitu. Kini Nazri dah pulih selepas Nazri memasuki rumah pengasih Syikal di bawah Persatuan Shafaul Qalbi Taiping (PSQT).  Di sana kami berkongsi masalah serta membantu antara satu sama lain, termasuklah kawalan emosi melalui kegiatan berbentuk kerohanian.” balas Nazri lagi.
Dila diam dan bungkam, mengertilah dia kini kenapa Nazri memutuskan pertunangan mereka. Dila sedar, semua yang dilakukan oleh Nazri, demi masa depannya juga. `Dila tak salahkan Nazri…’ dalam diam Dila berkata dengan dirinya sendiri.  Dalam masa yang sama, mata bertentang mata… bibir diam tanpa bicara.
Lembayung merah mengukir senyuman. Tatkala dua jiwa mulai berbunga riang, hanya lirikkan mata dan senyuman di bibir menandakan dirinya senang dengan pengakuan Nazri.  Dia melihat mata Nazri yang merah kebasahan, pasti airmata kekesalan.
“Jomlah Nazri, kita pulang.  Esok-esok kalau ada rezeki kita sembang lagi ye.  Ni pun dah senja, nanti ibu dan ayah bising pula.” kata Dila sambil bangun membersihkan kain kurung yang dipenuhi pasir.  Nazri  juga turut bangun dan mengikuti Dila dari belakang.
Sambil beriringan jalan meninggalkan pantai tersebut, Pantai Remis yang banyak meninggalkan kenangan buat mereka.  Di situlah cinta terpaut dan di situ jugalah tempat Dila meluahkan segala resah di saat cinta terputus.  Hanya pada Allah tempat Dila mengadu sambil di saksikan ombak dan pasir.  Nazri membiarkan Dila dengan angannya.  Sehinggalah sampai di hadapan halaman rumah Dila.  Waktu itu azan maghrib sudah pun berkumandang.  Kebetulan mereka berdua bertembung dengan ayah Dila. Segera Nazri mendekati dan menyalami ayah Dila, Pak cik Ahmad.
“Ehmmm… dah maghrib baru nak balik.  Tak baik Nazri, bawa keluar anak dara pak cik hingga ke maghrib.  Apa, tak sembahyang ke kamu?” tanya ayah sambil mengambil kopiahnya yang diletak di atas kerusi beranda rumah.  Nazri hanya tersenyum memandang Pak cik Ahmad.  Lalu segera meminta izin untuk pulang ke rumahnya.
“Nanti dulu Nazri… ada yang nak pak cik tanyakan pada kamu.” sambil menarik tangan Nazri. Terkejut dia dengan tindakan Pak cik Ahmad.  Sambil berjalan, hati Nazri berdegup kencang.  Dalam hatinya tertanya-tanya, apalah yang hendak dikatakan oleh ayahnya Dila.
“Nazri… maaf ye kalau pak cik tanya ni…? Kamu masih menaruh hati pada Dila lagi ke?
Nazri membiarkan pertanyaan ayah Dila tanpa sebarang jawapan.  Sehinggalah mereka terpisah di hadapan pagar masjid.  Lalu Nazri berjalan menuju ke arah rumahnya yang tidak berapa jauh dari masjid. Nazri memberi salam sebelum memasuki rumahnya.  Dari jauh Nazri melihat ibunya… lalu dia menghampiri dan menyapa dari arah belakang.
“Ibu… kalau Nazri cakap, ibu jangan marah ye?” Kata Nazri sambil berjalan ke arah rak pinggan. Diambilnya sebiji gelas, segera pula dia ke peti sejuk, mengambil air lalu dituangnya ke dalam gelas dan duduk mengadap ibunya. Gelas yang berisi air masih lagi dipegangnya.
“Aik… tak cakap lagi, macam mana ibu nak marah? Apa halnya kamu ni… ribut tak ada guruh pun tak berbunyi… tiba-tiba datang, nak cakap sesuatu. Macam berat je kes kamu ni? Sakit semula ke?” panjang lebar ibunya berleter. Nazri hanya membalas dengan senyuman.
“Ibu… esok ibu dan ayah ke rumah Pak Cik Ahmad boleh? Pinangkan Dila, dan kalau boleh Nazri tak mahu bertunang… nak nikah terus,” penuh yakin Nazri menyuarakan isi hatinya.
“Kamu jangan main-main Nazri, ini bukan perkara kecil. Ibu risau pisang berbuah dua kali,” balas ibunya kembali.
“Tak apalah Nazri, nanti bila ayah kamu balik dari masjid… akan ibu bincangkan ye. Sudahlah! Kamu tu dah sembahyang ke… jangan lengahkan waktu Nazri.”nasihat ibunya kembali.
Segera Nazri menuju ke biliknya, mencapai kain tuala lalu melangkah kaki menuju ke bilik mandi. Sambil menyanyi-nyanyi kecil… hati Nazri berbunga riang. Usai sembahyang Nazri memohon doa…`Ya Allah, jika benar dia jodoh buatku kau tetapkanlah hatiku untuknya, kau kuatkanlah diriku untuk menempuh segala dugaan ini. Ya Allah… izinkanlah kebahagian itu milik kami. Aamiin…’
************
Kedatangan Kasim dan Senah ke rumah Dila tanpa diundang membuatkan hati Dila tidak keruan. Dila tahu yang mereka itu adalah ayah dan ibunya Nazri. `Bakal mak mertua tak jadi…’ tersenyum Dila dengan kata yang terpacul keluar dari bibirnya.
            Dila yang sedari tadi berada di balik pintu yang memisahkan antara ruang tamu dan ruang dapur rumah cuba memasang telinga. Ingin mendengar apa yang dibincangkan oleh empat mata itu. Tapi tak sebutir pun yang Dila dengari. Ketika kemudian Dila mendengar namanya di panggil oleh ibunya. Segera Dila ke ruang tamu, menyalami kedua-dua ibu-bapa Nazri. Sambil memeluk Dila, sempat lagi ibunya Nazri membisikkan sesuatu… sehingga Dila tersipu malu.
            “Apa ibu…? Mereka datang pinang Dila? Nazri tak cakap apa-apa pun semalam?” Balas Dila bila ibunya memberitahu yang dia dipinang Nazri.
            “Dan satu lagi, kalau kau setuju. Mereka mahu langsungkan saja majlis nikah. Tak perlu bertunang. Ini permintaan Nazri sendiri. Kau setuju ke… Dila?”
Sambil mengira jari, Dila memandang wajah ibunya. “Ibu! Dila nak keluar kejap? Nak cari Nazri? Boleh ye ibu… ayah?” belum sempat ayahnya memberi keputusan, Dila sudah pun menghilangkan diri. 
Dila tahu di mana untuk mencari Nazri. Segera dituju arah yang satu… Pantai Remis.  Dari jauh Dila dapat melihat susuk tubuh Nazri yang duduk di bangku yang telah pun disediakan oleh pihak berwajib. Menghampiri Nazri dengan berhati-hati.
“Assalamualaikum… mengelamun nampak? Ingat siapa…? Buah hati ke?” Tanya Dila bila dia melihat Nazri yang termenung jauh. Bingung Dila.
“Nazri… mengapa ni? Salam tak berjawab. Berdosa tau?”
“Dila… Dila tak sayang Nazri ke? Tak cintakan Nazri? Tak sudi terima Nazri kembali?” kata-kata Nazri membuatkan hati Dila tersentuh. Dila tahu kini… kenapa sikap Nazri berubah. Ini mesti kes… cincin.
“Siapa kata?” balas Dila.
“Tu… jari manis Dila yang kata. Mana cincin yang Nazri bagi tu. Kenapa tak pakai?” jawab Nazri.
            “Nazri… kalau tiga tahun dulu Dila buang cincin awak, sebab terputusnya pertunangan antara kita. Tapi tak bermaksud Dila membuang terus cinta Nazri.  Siapa kata Dila tak sayang dan cinta. Pernah Nazri dengar dari mulut Dila. Ada?” Dila memandang Nazri dengan mata berkaca. Tanpa rasa malu Dila melafazkan kata-kata…
            “Saat rindu datang bertandang… mana janjimu ingin kupegang.  Andai rindu terus mendatang… pastikan resah turut mengundang. Dila tak sanggup kehilangan Nazri.” Sambil tunduk memandang pasir… deruan angin menyapa lembut saat jari jemari Nazri memegang dagu Dila. Sambil mengangkat  dagu Dila, Nazri berkata…
            “Benar… Dila cintakan Nazri, dan sedia terima Nazri kembali dalam hidup Dila?”
Tiada kata yang dapat di lafazkan saat ini. Hanya senyuman yang mampu diberi. Rasa bagai hendak dipeluknya Dila saat itu. Tapi fikirannya masih waras… batasan agama masih tersemat kukuh di nalurinya.
“Kalau macam tu… minggu depan juga kita nikah. Tak perlu bersanding. Cukupkan yang wajib.” Anggukkan dan kata Nazri mengukirkan senyuman di bibir Dila.
Janji terpatri antara dua hati. Hari yang di nanti pun tiba kini. Gembira kedua belah pihak.  Ikatan yang terputus dahulu terpaut akhirnya. Keadaan yang riuh bertukar sunyi seketika saat Nazri melafazkan akad nikahnya.
Saat tok kadi memulakan bicara, semua mata tertumpu ke arah pengantin. Dengan hanya sekali lafaz sudah sahlah Dila menjadi kepunyaan Nazri. Tiada siapa yang boleh memisahkan lagi.
Bergenang air mata di kelopak mata Dila, saat Nazri menyarungkan cincin di jari manisnya dan di saat Nazri mencium dahinya sudah terdetik di hatinya… `hanya kau kucinta, Nazri.’
Di dalam bilik pengantin, Dila duduk menunggu suaminya Nazri, yang masih leka melayan tetamu di laman rumah. Tanpa Dila sedari suaminya sudah berada di belakangnya. Sambil memeluk pinggang Dila… Nazri membisikkan kata indah di telinga isterinya.
            “Dila, andai jodoh itu milik kita… ia akan tetap jadi milik kita. Abang sayang dan cintakan Dila. Itu janji abang dan terima kasih kerana sudi terima abang kembali.”
            “Abang, kan kuserahkan pelangi cinta buatmu. Seindah cinta sakura… indah lagi cinta kita.  Kalau hati berkata `Ya’, jangan di ragu pada janji.
“Insya-ALLAH, alhamdulillah.” Kedengaran suara mereka berdua serentak mengucapkan syukur.

                                               

No comments:

Post a Comment